Friday 12 June 2015

Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia


Kempen 'Beli Barangan Malaysia' selalunya menyodokkan kita dengan fakta-fakta berikut -


  1. barangan buatan Malaysia lebih murah tetapi sama kualiti atau lebih baik kualitinya berbanding dengan barangan yang diimport.
  2. barangan buatan Malaysia telah banyak dijual dan diterima di luar negara, jadi rakyat Malaysia tidak perlu ragu-ragu tentang kualiti barangan buatan Malaysia.
  3. pembelian barangan buatan tempatan akan mengelakkan pengaliran Ringgit ke luar seterusnya menggalakkan perkembangan industri dan perusahaan tempatan yang akan meningkatkan ekonomi negara.
  4. pengguna perlu membuang sikap negatif dan prejudis terhadap barangan tempatan.
  5. Kempen mempromosikan barangan buatan Malaysia seperti ekspo dan sebagainya perlu diperbanyakkan bagi memberikan kesedaran kepada pengguna.
Penulis berpandangan Kempen ini perlu dihidupkan semula dan dicergaskan promosinya demi kepentingan ekonomi Malaysia tetapi dengan beberapa penambahbaikan yang perlu yang selari dengan keperluan semasa.

Pada ketika ini, penulis berpandangan bahawa bukan sahaja kebanyakan barangan keluaran tempatan malahan kebanyakan barangan berjenama (yang mungkin diimport) adalah dari kualiti yang rendah.

Baru-baru ini penulis telah dihadiahkan dengan pakaian terpakai (untuk anak-anak penulis) daripada ahli keluarga sendiri (pakaian pernah dipakai anak-anak mereka dahulu). Pakaian berkenaan adalah daripada jenama tempatan (yang penulis percaya adalah buatan Malaysia) yang mungkin dibeli dalam tahun 2000-2008. Keluarga terdekat yang memberikan pakaian terpakai tersebut bukanlah daripada kalangan yang terlalu senang dan mereka sangat berhati-hati semasa berbelanja.

Perkara yang mengejutkan penulis adalah kualiti pakaian-pakaian terpakai tersebut adalah sangat baik berbanding pakaian yang biasa dijual di pasaran dan mungkin juga lebih baik sekiranya dibandingkan dengan pakaian berjenama luar. Kainnya sedikit tebal dan tahan, dan warna yang tidak luntur walau pun telah lama. Hanya mungkin dari segi fesyen ianya kelihatan sedikit lama.

Ini telah menyebabkan penulis berfikir sama ada Kempen 'Belilah Barangan Buatan Malaysia' telah disalahgunakan oleh pengeluar / peniaga sehingga menyusahkan pengguna. Adakah pengeluar / peniaga menaikkan kadar keuntungan mereka? Atau adakah kos pengeluaran telah naik?

Adakah kerana pakaian keluaran tempatan telah menurun kualitinya yang menyebabkan pakaian berjenama luar juga menjualkan pakaian yang kurang berkualiti?

Oleh yang demikian, penulis berpandangan Kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk mengempenkan kepada pengeluar tempatan / peniaga untuk meningkatkan kualiti barangan yang mereka keluarkan. Sekiranya perlu, berikan masa untuk mereka meningkatkan kualiti yang mana sekiranya mereka gagal, 'perlindungan' yang diberikan kepada mereka dikurangkan iaitu dari segi pengurangan cukai yang dikenakan kepada barangan import.

Barangan yang lebih berkualiti akan membantu rakyat secara langsung. Sebagai contoh yang telah penulis sendiri lalui, pakaian anak-anak yang berkualiti dapat digunakan banyak kali dan kemudiannya boleh diberikan kepada sesiapa yang memerlukan (atau mungkinkah ini yang mahu dielakkan oleh pengeluar / peniaga -  Kerajaan perlu perihatin dan menjaga rakyat).

Tidak salah sekiranya kempen menyasarkan agar pengguna memilih barangan yang berkualiti dan mempunyai harga yang berpatutan. Ini adalah supaya pengeluar / peniaga berlumba-lumba memberikan barangan berkualiti baik dengan harga yang berpatutan.

Kerajaan perlu memikirkan bagaimana pengguna boleh mendapat maklum akan di mana untuk mendapatkan barangan berkualiti dan dengan harga berpatutan ini.

Selain daripada logo Kempen 'Belilah Barangan Buatan Malaysia' yang telah terkenal (seperti di atas), satu lagi logo yang telah biasa dipandang pengguna adalah logo Superbrands.


Kerajaan perlu mengkaji sama ada perlu diwujudkan peranan yang bersamaan untuk diberikan kepada SIRIM. Mungkin logo lain yang menunjukkan barangan berkualiti dengan endorsan daripada SIRIM adalah jawapan.

Mudah-mudahan sesuatu sistem dan standard yang lebih baik dapat diwujudkan. Pengeluar / peniaga yang mengeluar / menjual barangan berkualiti pada harga berpatutan perlu diberikan penghargaan dan galakan.

Selain itu pada pandangan penulis juga, kita perlu menerima hakikat bahawa terdapat barangan import yang kualitinya tidak dapat ditandingi oleh barangan keluaran tempatan. Oleh yang demikian, perbandingan di antara barangan keluaran Malaysia dan barangan import haruslah dielakkan. Selagi mana kita meletakkan perbandingan kepada barangan import, selama itulah kita berpandangan barangan import adalah 'benchmark'. Sekiranya kita meletakkan kualiti di hadapan, tidak mustahil sekiranya pengeluar tempatan mengeluarkan sesuatu yang lebih baik berbanding barangan import.

Pengguna perlu dinasihatkan agar teliti di dalam pembelian agar membeli barangan yang berkualiti. Sebagai contoh, sekiranya membeli sebuah tv, pengguna perlu membuat perbandingan harga-harga berbanding saiz tv, fungsi-fungsi tv, kelebihan-kelebihan tv yang ada dan kemudian barulah membeli yang mana berpatutan. Pembelian berdasarkan jenama perlu ditegah.

Diharapkan sekiranya kempen di atas berjaya, kita akan mempunyai kitaran yang baik. Pengeluar / peniaga akan mengeluarkan / menjualkan barangan berkualiti buatan tempatan dan pengguna pula menyokong barangan keluaran tempatan tersebut. Seterusnya, pengeluaran boleh ditingkatkan dan akhirnya menjadi eksport negara ke luar dan meningkatkan terus ekonomi Negara.

Dalam masa yang sama, para pemimpin, para artis, tokoh-tokoh kenamaan seeloknya ditegah daripada memperagakan barangan import dan sebaliknya menyokong kempen ini dengan menggunakan barangan tempatan.


*Nukilan cetusan idea semasa mendengarkan Search - Cinta Buatan Malaysia





1 comment:

  1. How to register at merit casino - Deccasino
    Find out how to sign up and 메리트카지노 deposit at the septcasino website and register a real money account at the website. Read the registration. Login. Login. Register. 온카지노

    ReplyDelete